LATAR BELAKANG

SKIM PINJAMAN BUKU TEKS (SPBT)

Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) merupakan satu program pinjaman buku teks kepada murid yang layak di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Program ini mula dilaksanakan pada  tahun 1975 dan terhad kepada murid yang  ibu bapa atau penjaga mereka warganegara Malaysia sahaja. Pada tahun 1983, program ini diperluaskan ke Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri.
                Sejak dilaksanakan pada tahun 1975, skim ini telah diurus secara sentralisasi oleh Bahagian Buku Teks (BBT) sehingga tahun 1997. pelaksanaan secara sentralisasi ini bermaksud semua pengurusan, keperluan, pemesanan, dan pembayaran buku teks SPBT dikendalikan oleh BBT.
                Oleh sebab pengurusannya semakin kompleks dan meluas, mulai tahun 1998, skim ini diuruskan secara desentralisasi. Di bawah sistem ini, tugas seperti pengurusan kewangan, pengurusan pesanan dan pembayaran tuntutan telah diperturunkan kuasa kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Walau  bagaimanapun, BBT sebagai pengawal tugas-tugas berkenaan masih menyelaras, mengawal dan memantau pelaksanaannya di semua peringkat, manakala bagi SMAR, anggaran peruntukan, urusan pemesanan dan pembayaran di seluruh Negara masih lagi diuruskan oleh BBT.
                Bagi memudahkan pengurusan dan memastikan keberkesanan system desentralisasi ini dilaksanakan, BBT melalui Sektor Skim Pinjaman Buku Teks telah membahagikan pengurusan SPBT kepada lima unit Zon iaitu:
  • Unit Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak)
  • Unit Zon Tengah (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan)
  • Unit Zon Selatan (Melaka dan Johor) serta SMAR
  • Unit Zon Timur (Pahang, Terenganu dan Kelantan)
  • Unit Zon Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.